Awang mengharapkan hukuman denda lebih tinggi dikenakan kerana seperti mana kata Timbalan Ke­tua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman kadar kompaun sedia ada sebanyak RM300 tidak sesuai untuk digunakan pada masa kini kerana ia kadar lama.

Pada masa sama, Awang juga bersetuju dengan pandangan Ke­tua Makmal Pengangkutan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Sitti Asmah Hassan yang meminta Kementerian Pengangkutan mencontohi ketegasan kerajaan Britain dalam menangani masalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Di negara tersebut, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda sehingga RM13,000, lesen memandu dibatalkan serta pemandu wajib mengambil semula peperiksaan pemanduan.

Sememangnya, ini adalah contoh hukuman terbaik yang mungkin boleh digunapakai di negara ini bagi mengajar pemandu-pemandu degil.

AWANG – Pemandu cermat.