Sebenarnya tiada keperluan pun untuk mengajak bekas Perdana Menteri itu berdebat pada peringkat awal lagi, kecuali untuk menjerut diri sendiri.

Kenapa perlu provokasi dengan mengajak berdebat atas tajuk, “Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti”. Sedangkan umum tahu Najib tidak akan rugi apa-apa jika perdebatan berlangsung. Malah jika Kit Siang tersilap langkah Najib pula dilihat hero.

Kini Najib bukan lagi berkuasa dan jika diserang keterlaluan dan berterusan disalahkan, orang akan muak dan lebih ramai bersimpati.

Apatah lagi alasan yang diberikan Kit Siang untuk menarik diri hanya kerana bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina. Amat dangkal hujah bagi orang yang mengajak berdebat.

Kata semangat Malaysia Baharu, apatah lagi DAP dan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan memerintah, sepatutnya sudah tentu tidak lagi timbul alasan berkaitan pertembungan antara kaum.

Akhirnya kerana tersilap langkah, Kit Siang terperangkap dengan permainan yang diciptanya sendiri. Najib pula mendapat populariti percuma tanpa perlu melakukan apa-apa. Apatah lagi di zaman sosial media kini, ia umpama malapetaka jika tersilap langkah.

AWANG: Lebih baik Kit Siang tegur PH