Lebih rumit apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu berkuat kuasa serta merta. Timbul persoalan apakah status terkini Azlan sebagai Menteri Besar? Jika tanpa parti, siapakah penyokongnya yang boleh menjamin kedudukan sebagai Menteri Besar?

Amat malang isu pelantikan Menteri Besar ini berlarutan selepas dua minggu pilihan raya umum. Pada tahun 2008 juga timbul masalah yang hampir sama. Perlis hanyalah negeri kecil tetapi terakhir membentuk kerajaan negeri walaupun BN menang dengan majoriti dua pertiga.

Ketika prestasi BN menjunam, isu seumpama ini hanya menambahkan lagi kekusutan yang sedang dihadapi. Kesannya bukan sahaja kepada parti tetapi juga rakyat seluruhnya.

Awang berharap, isu ini dapat ditangani dengan segera bagi mengelakkan krisis kepemimpinan politik dengan pihak istana berlarutan. Jangan bazirkan masa. Kini masa untuk bekerja bagi kepentingan rakyat. Selesaikan isu ini bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

AWANG - Tunggu dan lihat.