Menang kalah adat pertandingan. Kemenangan bukanlah untuk dibanggakan tetapi ia lebih merupakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh seluruh anggota parti untuk memulihkan UMNO. Mereka memikul tugas teramat berat.

Harus diingat, mereka menjadi pemimpin dalam suasana yang amat berbeza berbanding pemimpin sebelum ini. UMNO tidak lagi berada di zon selesa. Banyak yang perlu dilakukan bagi memulihkan keadaan. Cabaran lebih besar menanti. Pada masa yang sama, selepas pertandingan, kembalilah bertaut.

Hentikan sebarang pertelingkahan atau rasa kecewa berikutan pemilihan ini. Perjalanan masih jauh. Jangan ada dalam kalangan mereka yang merajuk dan meminggirkan diri. Lebih teruk meninggalkan parti.

Awang juga berharap, mereka yang kurang bernasib baik tidak menamatkan perjuangan begitu sahaja. Tidak terpilih bukanlah bermakna mereka tidak disukai. Sumbangan mereka yang menawarkan diri untuk bertanding masih diperlukan.

Jus­teru terimalah keputusan secara terbuka. Wujudkan situasi menang-menang. Setiap anggota perlu ingat slogan parti keramat itu Bersatu Bersetia Berkhidmat.

AWANG – Tunggu saingan Presiden UMNO.