Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi sering ‘timbul tenggelam’ bersama kes-kes penderaan atau kecuaian oleh pengasuh sehingga menyebabkan kematian. Begitulah situasi yang berlaku selama ini.

Diharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat benar-benar mencapai sasaran supaya semua agensi kerajaan mewujudkan Taska di tempat kerja menjelang Januari 2019. Perkara yang sama juga perlu diberi perhatian oleh majikan swasta kerana mereka juga layak mendapat insentif pelepasan cukai bagi mengubahsuai dan penyenggaraan bangunan.

Tidak dinafikan penyediaan Taska ini dapat membantu meningkatkan produktiviti pekerja kerana anak-anak mereka ditinggalkan berdekatan dengan tempat kerja. Mereka boleh menjenguk semasa waktu rehat dan keselamatan anak-anak juga lebih terjamin.

Tumpuan juga perlu diberi kepada rumah pengasuh persendirian di mana isu keselamatan serta keupayaan dan kemampuan penga­suh yang terlatih amat penting. Begitu juga ibu bapa yang lebih selesa menempatkan anak-anak mereka di rumah jiran atau kenalan.

Awang percaya ramai yang memberi kepercayaan kepada jiran untuk mengasuh anak mereka. Ibu bapa mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian jangan abaikan keselamatan.

Ambil berat suasana persekitaran rumah penjaga atau jiran. Jangan menuding jari kepada kerajaan tidak menguatkuasakan undang-undang apabila berlaku kecuaian atau penderaan.

AWANG – Jaga anak waktu malam.