Nampaknya SPRM bersungguh-sungguh memerangi kegiatan ra­suah membabitkan anggota dan pegawai penguat kuasa dengan me­lakukan tangkapan demi tangkapan. Awang menyokong seratus peratus tindakan SPRM ini memandangkan ‘hubungan baik’ antara pihak penguat kuasa dengan pengusaha pusat hiburan dan rumah urut inilah yang menyebabkan pusat-pusat sedemikian termasuk yang beroperasi secara haram tumbuh macam cendawan lepas hujan.

Penglibatan orang penting di jabatan strategik seperti imigresen dalam amalan rasuah mencemarkan nama baik jabatan dan menjejaskan integriti kakitangan kerajaan. Lebih daripada itu, perbuatan tidak bermoral itu mampu menggugat ketenteraman awam dan keselamat­an negara. Sebab itu tindakan SPRM memburu penguat kuasa yang rasuah harus dipuji dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Awang berharap tindakan tegas, tanpa kompromi juga dikenakan terhadap pemberi rasuah. Janganlah hanya sebelah pihak yang kena, sedangkan sebelah pihak lagi terlepas. Pegawai dan anggota penguat kuasa dicekup tetapi pusat hiburan dan rumah urut yang terlibat masih rancak beroperasi, seolah-olah tidak berlaku apa-apa. Tentu sahaja nampak pelik.

Bertindaklah tanpa gentar dan pilih kasih.

AWANG – Tak beri, tak ambil, tak makan rasuah!