Sebagai rakyat dalam sebuah negara majmuk, kita bersyukur kerana setiap perayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat disambut dengan meriah dalam suasana yang aman dan harmoni.

Jika diimbau sejarah tamadun-tamadun besar di dunia, kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati antara satu sama lain merupakan sumber kemajuan dan kekuatan sesebuah tamadun.

Keharmonian dalam hubungan antara masyarakat Islam dan Kristian di Andalusia semasa pemerintahan Khilafah Islam merupakan contoh kerukunan hidup antara masyarakat pelbagai agama yang menjadi sumber kekuatan tamadun Islam ketika itu.

Keharmonian dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai agama dan budaya itu mendorong masyarakat Andalusia untuk mencipta pelbagai kemajuan dalam bidang keilmuan, kebudayaan, ekonomi, sains dan teknologi.

Sejarah seperti ini memberi pengajaran kepada kita bahawa hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya menjadi tonggak pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa.

Marilah kita bersama-sama mengekalkan hubungan yang harmonis antara kaum dan agama, sentiasa bersikap rasional, ketepikan perasaan curiga dan prejudis, serta mencari titik persamaan yang boleh dikongsi bersama.

Selamat menyambut Hari Natal.

AWANG - Pertahan toleransi kaum.