Sehingga November lalu, sebanyak 77,945 pasport dilaporkan dicuri atau hilang. Puratanya, 233 kes setiap hari. Mungkin peratusannya kecil berbanding lebih 76 juta pasport yang dilaporkan hilang di seluruh dunia. Pasport Malaysia yang ketujuh popular di dunia dikatakan mempunyai nilai yang tinggi di ‘pasaran’ kerana mudah diakses. Tidak hairanlah ada juga pihak yang sanggup me­libatkan diri dalam sindiket pemalsuan pasport Malaysia.

Jika pasport yang dicuri atau pemalsuan ini dapat dikesan di luar negara, sudah tentu ia akan menjejaskan imej negara lebih-lebih lagi jika pembawanya terlibat dengan jenayah. Sesuatu harus dilakukan supaya pemilik lebih berhati-hati ketika ‘memegang’ pasport. Mungkin pemilik dikenakan denda yang tinggi sekiranya kehilangan atau kecurian itu disebabkan kecuaian.

Awang juga berharap, pengenalan pasport Malaysia generasi baharu dapat membantu mengurangkan kehilangan atau pemalsuan ini. Ciri-ciri keselamatan yang menggunakan teknologi terkini dan canggih diharap mampu membendung kegiatan ini. Bukan sekadar cantik dipandang. Pertingkatkan ciri-ciri keselamatan yang tidak mudah ditiru oleh sindiket walaupun mereka sentiasa mencari jalan untuk memiliki peralatan lebih canggih.

AWANG - Simpan pasport tamat tempoh.