Selain itu Awang juga bersetuju dengan pandangan baginda bahawa adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa.

Awang berharap apa yang dititahkan oleh baginda tidak akan dipandang serong, apatah lagi dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sememangnya sebagai warganegara Malaysia, seluruh rakyat negara ini wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik, sementara bahasa ibunda tetap dipelihara.

Apa yang dititahkan oleh baginda tepat pada masanya ketika bahasa Melayu kini dilihat semakin terpinggir dalam pelbagai urusan. Ketika ini juga pencemaran bahasa itu juga semakin ketara termasuklah di papan-papan iklan dan paling malang drama-drama Melayu juga dilihat sudah mengagung-agungkan bahasa Inggeris dalam judulnya.

Oleh itu Awang berharap semua pihak khususnya pihak pe­ngurusan sekolah-sekolah vernakular memandang serius titah Sultan Nazrin dan berusaha melakukan sesuatu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya.

Hakikatnya, tindakan seumpama itu tidak akan merugikan mereka. Sebaliknya akan mengukuhkan lagi perpaduan seluruh rakyat Malaysia kerana seperti mana titah baginda, ia akan membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu dan meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat terhadap sekolah vernakular.

AWANG – Sentiasa mencintai bahasa Melayu.