Sememangnya keputusan yang diambil itu bertepatan dengan kehendak majoriti rakyat negara ini khususnya orang Melayu dan kaum bumiputera yang mahu ICERD ditolak sepenuhnya oleh kerajaan memandangkan konvensyen tersebut jelas bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah sebahagian besar kaum Cina dan India menolak ICERD. Selama ini pun tidak pernah berlaku diskriminasi kaum di bumi yang tercinta ini apabila masing-masing diberikan hak seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kebebasan menggunakan bahasa ibunda serta kewujudan sekolah vernakular adalah bukti betapa Perlembagaan menghormati hak setiap rakyat di Malaysia.

Setakat yang Awang tahu Malaysia adalah antara negara di dunia ini yang mengiktiraf sekolah vernakular. Justeru usahlah ada mana-mana pihak selepas ini berusaha untuk memperjuangkan ICERD kerana jelas konvensyen acuan barat berkenaan langsung tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini.

Awang juga percaya keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan rakyat yang sehingga kini terus menyuarakan bantahan sama ada dalam perhimpunan mahupun kenyataan media.

Insiden ini turut menjadi pengajaran berguna untuk menteri Kabinet terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy. Beliau yang kini menghadapi bantahan umum agar meletakkan jawatan ekoran video lamanya terdedah, perlu lebih berhati-hati.


AWANG – Tarik nafas lega.