Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mendapat penghormatan istimewa menjadi pemimpin tunggal ASEAN yang dijemput memberi ucapan dalam majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan di Australia, serta-merta Awang teringat tohmahan yang dilemparkan sebelum ini.

Antaranya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah ‘menjolok’ bahawa Interpol akan menangkap Perdana Menteri sekiranya beliau pergi ke luar negara.

Lebih teruk lagi, dakwa Pengerusi Pakatan Harapan itu, “sekiranya Najib didapati bersalah, beliau perlu berada dalam negara dan tidak boleh keluar”.

Itu antara fitnah Dr. Mahathir yang senada dengan dakyah-dakyah dihamburkan pembangkang dalam tempoh setahun dua ini.

Namun, realiti dan fakta telah menangkisnya. Kerajaan Australia tetap memberi penghormatan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia dengan pada majlis makan malam pun Perdana Menteri duduk di sebelah rakan sejawatannya, Malcolm Turnbull.

Begitupun, Awang percaya fitnah-fitnah dahsyat akan terus bertebaran dan tidak ternoktah selagi belum berlaku pilihan raya umum.

Dalam waktu terdekat, pembangkang pastinya tidak akan berdiam diri walau sesaat untuk ‘menerobos’ minda rakyat Malaysia. Ini demi mengejar kuasa.

Cuma yang penting, teliti dan semaklah dengan pihak berkuasa jika cuak didatangi sesuatu maklumat. Jangan ikut hati, kemudian tular sewenang-wenangnya.

AWANG – Tak makan hasut.