Setiap kali Aidilfitri itulah mesej yang selalu Awang sampaikan kepada umat Islam iaitu bersyukur. Ini memandangkan kita jauh bernasib baik berbanding dengan umat Islam di sesetengah negara.

Akibat konflik dan peperangan berterusan, Aidilfitri bagaikan tiada bezanya dengan hari-hari lain. Mereka tetap terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan ketakutan dan ada antaranya kebuluran.

Tetapi situasi itu tidak pernah dialami oleh rakyat Malaysia, apapun perayaan akan diraikan dengan kemeriahan termasuklah Aidilfitri. Oleh itu, jangan biarkan fajar 1 Syawal di bumi Malaysia menjadi suram akibat konflik atau perbalahan sesama kita.

Marilah eratkan persaudaraan dan persahabatan di hari penuh mulia ini. Bermaaf-maaflah sesama kita dan lupakan segala per­bezaan. Selain itu, Awang berharap kita tidak berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Sambutlah secara sederhana dan ­penuh ke­syukuran kerana itulah ajaran Islam.

AWANG – Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin.