Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan beliau memberi enam insentif itu secara serentak. Sesungguhnya, insentif ini amat dinanti-nantikan oleh golongan peneroka. Insentif itu bukan sahaja memberi faedah pada masa sekarang tetapi juga mengambil kira kebajikan masyarakat peneroka pada masa hadapan. Sedikit-sebanyak, ia akan meringankan beban para peneroka.

Sesuatu yang menarik perhatian sudah tentulah pelupusan hutang dan insentif RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak. Ketika isu panas yang menyelubungi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), baki pinjaman saham FGV yang sedang dibayar oleh 77,934 peneroka juga akan dilupuskan. Memang insentif ini melegakan masyarakat peneroka.

Awang turut gembira apabila Felda memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan yang menyaman organisasi tersebut untuk kembali bermuafakat bersama agensi itu. Ini bukti kerajaan tidak mengabaikan mereka. Ambillah peluang ini untuk menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan. Gunakan kesempatan yang ada untuk kembali bersama ‘keluarga besar’ Felda. Jagalah dan sayangilah Felda.

AWANG - Hargai jasa Felda kepada peneroka.