Lantas Awang memanjatkan rasa syukur kerana meskipun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu tanggung subsidi hampir RM400 juta untuk musim haji 1439H nanti, kos haji RM9,980 untuk jemaah kita masih dikekalkan.

Sedangkan peningkatan kos sebenar sebanyak 15 peratus menyebabkan kos haji naik kepada RM22,450 seorang.

Tambah bersyukur lagi Awang apabila dimaklumkan bayaran haji yang dilaksanakan di negara ini sejak 2009 itu adalah kos pa­ling rendah di Asia Tenggara. Ini tidak sepadan dengan kemudahan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh Tabung Haji sepanjang menunaikan ibadah haji.

Bukan itu sahaja. Demi keselesaan jemaah haji kita, pelbagai kemudahan yang disediakan di tanah suci dan tanah air ditambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan seperti perkhidmatan kesihatan, kaunseling, bimbingan dan kewangan.

Pernah Awang dimaklumkan semasa berada di Mekah pada 2014 berhubung satu tunjuk perasaan anjuran jemaah haji sebuah kerajaan di Afrika selepas mereka pulang ke tanah air.

Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, ratusan jemaah haji berkenaan melaungkan pekikan: “Kami mahu macam Tabung Haji, segerakan...segerakan.”

AWANG - Bersyukur, terima kasih kerajaan.