Pihak yang akan menjadi mangsa paling dahsyat sudah pastinya kerajaan Barisan Nasional (BN). Apa sahaja program dan rancangan berkepentingan rakyat daripada pihak kerajaan akan diserang dan dicari ‘silap’ sehingga sekecil zarah.

Kelmarin, Pas yang waktu ini diuar-uarkan oleh pakatan pembangkang sebagai ‘rakan mesra BN’ masih lagi dijolok dengan soalan ko­nonnya parti itu menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri.

Sedangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa dialog jamuan sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Kuala Terengganu itu mendedahkan Pas telah memfailkan saman fitnah di London terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown mengenai perkara itu.

Oktober lalu, Rewcastle-Brown mengheret bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga dalam kemelut itu. Berdasarkan dokumen mahkamah, Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan Pas termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.

Penyebaran berita palsu berupaya meranapkan kredibiliti seseorang yang termasuk dalam kategori politik ‘pembunuhan karakter’.

Cuma Awang sedikit ‘cuak’ sama ada sempatkah akta baharu menangani penularan berita palsu ini digubal atau dibahaskan dalam sidang Parlimen bulan depan? Kalau tak sempat, adakah ini bermakna tugas pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan kelancaran pilihan raya bertambah sehingga dua kali ganda?

AWANG – Sentiasa jauhi si pembohong.