Langkah ini memerlukan sokongan dan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat. Kerjasama ini amat pen­ting bagi mengelakkan suara-suara sumbang yang mendakwa pemantauan itu akan menjejaskan periuk nasi peniaga.

Sebenarnya, peniaga tidak perlu bimbang jika makanan yang dijual bukan dalam kategori makanan dilarang. Apa yang pen­ting, kita mahu anak-anak mendapat makanan yang seimbang dan mengamalkan diet serta cara hidup yang sihat bagi mengelakkan obesiti.

Berilah perhatian terhadap pemakanan anak-anak. Jangan biarkan mereka makan apa sahaja yang dijual di kantin atau di luar sekolah. Luangkan sedikit masa untuk menyediakan makanan seimbang serta didik anak-anak mengambil makanan yang berkhasiat.

Awang ingin menarik perhatian mengenai kajian yang mendapati seorang daripada empat kanak-kanak tidak mengambil sarapan pagi. Di mana keprihatinan ibu bapa terhadap diet anak mereka?

Punca berat badan berlebihan dan kekurangan nutrisi adalah berkaitan. Risiko berat badan meningkat seiring dengan peningkatan kepada akses makanan dan minuman tidak berkhasiat, makanan dengan kandungan lemak atau gula dan nilai nutrisi yang rendah serta kurang aktif dan gaya hidup sedentari.

AWANG – Teringat bawa bekal ke sekolah.