Sememangnya seruan itu tepat pada masanya ketika umat Islam di negara ini tidak habis-habis berbalah akibat daripada perbezaan ideologi politik. Bahana daripada semua itu, kita dapat saksikan bagaimana mereka tidak mampu bersatu waima dalam mempertahankan kepentingan sendiri.

Apa yang lebih malang, ada sesetengah umat Islam sanggup bersekongkol dengan pihak lain bagi menjatuhkan kepemimpinan negara hanya disebabkan oleh agenda politik peribadi. Keadaan itu sudah tentulah boleh meletakkan umat Islam dalam bahaya kerana perpecahan mereka akan membolehkan pihak lain mengaut keuntungan.

Seperti mana Awang pernah nyatakan sebelum ini, tidak salah berpolitik dan adalah menjadi hak kepada mana-mana juga umat Islam untuk menyokong parti yang mereka sukai, tetapi biarlah ia ada batasnya.

Sebab itulah dalam Islam, apabila kita berselisih faham, umat Islam digalakkan kembali kepada al-Quran dan sunnah seperti mana ditekankan oleh raja-raja Melayu, tetapi malangnya politik kebencian menyebabkan ia tidak dilakukan, kesudahannya yang akan menanggung akibat ialah umat Islam keseluruhannya. Justeru sebelum terlambat insaflah kerana biar apapun berlaku sesungguhnya umat Islam itu bersaudara.

AWANG – Selamat menyambut Maal Hijrah.