Perwatakan Almarhum yang suka berdamping dengan rakyat terutama mendengar keluh-kesah mereka begitu dirasai kita semua.

Di Pahang, apa jua yang berlaku sama ada kebakaran, kemalangan, bahkan orang mati lemas, kalau dimaklumkan kepada Almarhum, nescaya akan diberi bantuan.

Malah, ada ketikanya Tuanku lebih pantas tiba di tempat kejadian daripada bunyi siren pasukan keselamatan atau wartawan sendiri.

Suatu ketika pada awal tahun 2000, kelibat Almarhum dirakam lensa kamera yang dilihat meranduk air untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang termasuk di tepi Sungai Lembing membuktikan Almarhum seorang raja yang benar-benar berjiwa rakyat.

Rakyat adalah keutamaan Almarhum yang lebih mesra membahasakan dirinya ‘saya’ dan tidak teragak-agak menegur pihak terbabit jika mendapati sesuatu projek pembangunan boleh mendatangkan kemudaratan.

Rakyat Pahang dan seluruh negara amat terasa kehilangan Almarhum. Semoga roh baginda dicucuri rahmat oleh-Nya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

AWANG – Raja dan rakyat berpisah tiada.