Agensi pelancongan perlu mengambil iktibar dan tidak sesuka hati mengendalikan aktiviti secara tidak sah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan ibadah. Setiap agensi pelancongan perlu bertanggungjawab memiliki lesen pengendalian yang sah bukan sekadar berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Orang ramai sepatutnya lebih berhati-hati kerana mereka akan menjadi mangsa sekiranya tersilap memilih agensi pelancongan. Ramai yang keliru dengan iklan atau nama agensi pelancongan. Selama ini, mungkin kebanyakan orang tidak pernah ambil peduli status lesen pengendalian syarikat atau agensi pelancongan ber­kenaan sama ada telah berdaftar dengan Kementerian Pelancong­an dan Kebudayaan atau sebaliknya.

Jangan ambil mudah bahawa setiap agensi pelancongan itu sudah berdaftar dengan kementerian. Hakikatnya, banyak agensi yang tidak berbuat demikian dan tidak layak mengendalikan aktiviti pelancongan. Kebiasaannya, kepincangan akan terbongkar apabila pengguna atau orang ramai menghadapi masalah terma­suk terkandas di lokasi.

Awang percaya jika pengguna lebih mengambil tahu mengenai status syarikat berkenaan, tidak akan timbul masalah penipuan. Dalam hal ini, orang ramai boleh menghubungi kementerian untuk mendapatkan pengesahan mengenai status syarikat atau agensi pelancongan yang menjadi pilihan mereka.

AWANG – Melancong sendirian

BISIK-BISIK