Isu ini tidak boleh dibiar berterusan dan memerlukan penyelesaian. Jika tidak, kekurangan itu boleh memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak di sekolah berkenaan. Tidak dinafikan guru-guru berpengalaman yang masih mempunyai kampung halaman lebih berminat untuk bersara di negeri asal mereka.

Jika di awal penempatan, guru-guru ini bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja termasuk di pedalaman lebih-lebih lagi yang masih bujang. Apabila berkahwin, timbul keinginan untuk kembali ke negeri masing-masing atau mengikut suami di tempat lain.

Kementerian Pendidikan mungkin tidak dapat menolak permohonan jika guru-guru mempunyai alasan kukuh untuk berpindah. Ramai juga yang telah selesa di bandar tidak akan memohon untuk berpindah walaupun tertekan dengan kos sara hidup.

Awang menyambut baik cadangan menaikkan elaun kecuali jika kerajaan mampu menurunkan kos sara hidup di bandar. Rumah atau kuarters kakitangan juga boleh dipertingkatkan bagi mengurangkan bebanan sewa rumah. Begitu juga mengambil calon guru di bandar boleh dipertimbangkan asal jangan mengabaikan peluang orang lain.

AWANG - Pernah bertugas di Johor Bahru.