Kalau menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, saman mandatori itu akan mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Kata beliau, enam kesalahan utama yang akan disaman serta-merta ini adalah memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, menggunakan telefon, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Sememangnya itulah enam ‘penyakit’ yang ada pada pemandu kita. Setiap kali Awang memandu di lebuh raya sering sahaja terserempak dengan pemandu yang Awang gelar ‘buta mata dan hati’ apabila menggunakan lorong kecemasan ketika jalan sesak atau trafik bergerak perlahan.

Awang berharap kali ini dikenakan tindakan setegas-tegasnya. Pemandu yang melakukan enam kesalahan itu perlu diarahkan bayar serta-merta. Kalau tidak mampu bayar pada masa itu, sita sahaja kenderaan dan pulangkan selepas saman dibayar.

Kita sudah tidak boleh bertolak ansur, sebab itulah Awang tidak bersetuju bila diskaun diberikan kepada pesalah trafik, macam jualan murah hujung tahun pula. Awang harap pendekatan ini dikaji semula.

AWANG – Sentiasa patuh undang-undang.