Pada sidang akhbar kelmarin pula, PDRM berjaya melumpuhkan kegiatan memproses serbuk ekstasi untuk dijadikan puluhan ribu pil dengan berpandukan video pada laman YouTube. Dalam serbuan di sebuah pondok di Muar, Johor itu, pelbagai dadah yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dirampas.

Walaupun tumpang gembira dengan kejayaan ini, tetapi pada masa sama Awang begitu risau dengan perkembangan yang tidak sudah-sudah tentang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di negara ini.

Dalam masa beberapa hari sahaja berada di tahun baharu 2018, beberapa serbuan dan tangkapan kes dadah telah dilakukan. Sebelum ini pun beberapa penemuan baharu pil sintetik yang lebih dahsyat kesannya dilaporkan di pusat-pusat hiburan. Sindiket dadah kini lebih kreatif.

Adakah ini menunjukkan bahawa negara ini sudah menjadi pusat pengedaran dan penagihan dadah yang besar atau terbesar di rantau ini? Inilah yang amat membimbangkan.

Nampaknya, dadah tetap menjadi musuh nombor satu negara. Justeru, apa sahaja usaha melalui penguatkuasaan dan undang-undang perlu diambil supaya ia tidak menjahanamkan orang muda kita dan generasi akan datang. Pun begitu, Awang tetap yakin dengan keupayaan PDRM dan berharap orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia terutamanya turut memainkan peranan menangani penyalahgunaan dadah ini.

AWANG - Dadah isu amat serius.