Sudah tentu pakar-pakar itu tidak bercakap kosong. Mereka pasti mempunyai hujah kenapa gesaan tersebut dibuat. Oleh itu Awang berharap kerajaan memandang serius pandangan mereka dan melakukan tindakan sewajarnya dalam soal tersebut.

Kita tidak boleh menafikan ketika ini macam-macam kenyataan dan analisis dibuat berhubung ekonomi negara. Kebanyakannya tidak begitu menggembirakan. Semua itu berlaku kerana banyak sangat isu berkaitan ekonomi yang tercetus sehingga ia dilihat oleh pakar-pakar bagi menjejaskan imej Malaysia.

Dalam berhadapan keadaan ini, Awang memahami kerajaan di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berusaha memulihkan keadaan tetapi ia perlu dilakukan segera supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk.

Awang juga berpendapat, tidak perlu lagi bercakap soal kerajaan terdahulu kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada ekonomi negara. Lebih baik tumpuan diberi bagi memastikan ekonomi negara kembali mantap.

Awang yakin ia boleh dilakukan kerana majoriti menteri yang ada sekarang dilihat cukup bijak bercakap soal ekonomi ketika menjadi pembangkang dahulu.

AWANG - Hanya menganalisis.