Selaku peguam bela dan peguam cara, sudah pasti pemilihan beliau mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah adalah tepat. Apatah lagi SPR sendiri melibatkan banyak perkara berkaitan undang-undang.

Namun Awang ingin berkongsi dengan Azhar bahawa sesiapa pun yang menduduki kerusi ‘panas’ Pengerusi SPR pasti akan berhadapan dengan persepsi masyarakat.

Cabarannya tidak sama seperti menguruskan kes-kes mahkamah. Akan ada sahaja yang tidak kena seperti mana dihadapi Mohd. Hashim yang pernah digelar dengan macam-macam jolokan tidak molek, antaranya ‘tali barut kerajaan (terdahulu)’.

Tapi yang peliknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi Pakatan Harapan tidak kedengaran lagi isu-isu berkisar ‘pengundi hantu, kelibat pengundi Bangla’ atau apa sahaja unsur penipuan undi. Yang ada, itu pun tidak heboh sangat cuma keputusan pilihan raya lambat.

Awang hanya berharap satu sahaja kepada Azhar, pastikan integriti SPR dalam menegakkan sistem demokrasi dipertahankan. Lebih-lebih lagi dalam senario politik semasa tanah air hari ini yang dalam tempoh memasuki lima bulan pasca PRU-14 ini sahaja sudah tiga pilihan raya kecil dilangsungkan. Itu belum menyusul satu lagi di Port Dickson 13 Oktober depan.

Peliharalah imej SPR sebagai pertubuhan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

AWANG – Pemerhati setia SPR.