Antara pendedahan itu ialah BNM kerugian RM31.516 bilion berbanding yang diuar-uarkan hanya RM9 bilion. Jumlah kerugian ini bukan kecil sehingga bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid menyifatkannya sebagai kerugian terbesar dalam sejarah perbankan dunia.

Awang pasti banyak persoalan akan terlerai berhubung skandal urus niaga mata wang asing ini yang telah dilaporkan BNM kepada kerajaan. Persoalan utama yang Awang nanti-nantikan ialah siapakah yang bertanggungjawab menutup atau menyembunyikan skandal ini.

Satu lagi insiden yang masih menjadi tanda tanya dan memerlukan jawapan adalah peristiwa Memali. Peristiwa berdarah pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis sehingga kini menjadi perdebatan umum.

Cara untuk mendapatkan jawapan dan seterusnya memberi keadilan kepada pihak yang berasa teraniaya adalah melalui penubuhan suruhanjaya diraja. Awang rasa telah tiba masanya untuk semua pihak berlapang dada agar kebenaran dapat ditegakkan.

AWANG – Berprasangka baik.