Masing-masing melontarkan hujah bagi memperkukuhkan pendirian. Kini, ada dua pihak yang seolah-olah mengadakan pungutan suara berhubung isu ini . Kenyataan seorang anggota Kabinet berhubung apa yang didakwa diskriminasi kaum dan agama di Malaysia juga menimbulkan kemarahan.

Ramai ingin tahu apakah tindakan dan pendirian kerajaan terhadap menteri berkenaan walaupun kenyataan itu sudah lama dikeluarkan.

Tidak dinafikan , dalam menghadapi kemelut ini, sebarang bantahan perlu dibuat mengikut saluran tertentu. Bagaimanapun dalam beberapa isu sebelum ini, demonstrasi jalanan sama ada mendapat permit atau tidak adalah medan yang dianggap dapat memberikan mesej yang jelas.

Semua pihak perlu sedar bahawa dalam isu ICERD ini, pihak yang membantah mempunyai pendirian yang jelas. Mereka tidak mahu ada mana-mana pihak cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bumiputera dan raja-raja Melayu.

Awang percaya isu ini akan berlarutan selagi kerajaan tidak menyatakan pendirian yang tegas, jelas dan meyakinkan. Lebih membimbangkan apabila pimpinan parti politik kerajaan juga tidak senada. Rakyat tahu dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

AWANG – Cintakan perpaduan.