UPSR hanyalah satu permulaan, bukannya satu pengakhiran. Murid-murid ini sama ada yang mendapat A atau sebaliknya perlu berhadapan dengan peperiksaan lebih besar termasuk Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak semua murid cemerlang hari ini akan turut cemerlang pada masa hadapan. Ada murid yang lemah di sekolah rendah tetapi akhirnya berjaya di peringkat menengah dan universiti. Masih belum terlambat untuk ‘meraikan’ murid-murid yang tidak cemerlang ini dengan memupuk semangat untuk berjaya.

Jangan pinggirkan mereka yang tidak cemerlang sebaliknya beri dorongan kepada mereka untuk memperbaiki diri dan bersedia menempah kejayaan pada masa hadapan. Iringi langkah mereka ke sekolah menengah dengan memupuk keazaman untuk memperbaiki kedudukan dalam bidang akademik.

Awang masih ingat pada tahun lalu, seorang guru meraikan anak muridnya yang mendapat keputusan 6E. Melalui akaun Facebooknya, guru itu menjelaskan, muridnya itu perlu diraikan. Harapannya apabila besar nanti murid itu akan menjadi orang yang berjaya. Mungkin langkah seperti itu dapat menjadi pembakar semangat kepada murid-murid yang tidak cemerlang.

AWANG – Masih banyak ujian di hadapan.