Semua agensi yang berkaitan perlu membincangkan pendekatan yang lebih holistik. Kempen keselamatan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Semakin banyak peraturan yang dilaksanakan bagi mendidik pengguna jalan raya, semakin banyak pula kemalangan. Di manakah silapnya?

Salah satu faktor adalah disebabkan sikap manusia. Pemandu sekarang hanya berhati-hati di lokasi yang ada penguatkuasaan sama ada melalui kamera atau sekatan polis. Teknologi yang ada pula membantu pemandu supaya tidak `terperangkap’ dengan had laju. Selepas melepasi kawasan berkenaan, mereka memecut.

Tidak hairanlah punca kemalangan maut yang tertinggi adalah disebabkan kenderaan terbabas dan pertembungan secara berdepan. Saman juga gagal mendidik pemandu supaya insaf, mungkin disebabkan tawaran diskaun saman.

Awang percaya sikap pemandu amat penting dalam mengurangkan kadar kemalangan ini. Begitu juga dengan penguatkuasaan yang benar-benar dikuatkuasakan. Kerajaan boleh mengambil pelbagai langkah termasuk mengetatkan syarat pemilikan kenderaan dan mengurangkan pergerakan kenderaan di jalan raya tetapi akhirnya bergantung kepada sikap manusia.

AWANG – Hari-hari lapor nahas jalan raya.