Selama ini, masyarakat terutama golongan pekerja sedar kesan negatif akibat pengabaian cara penggunaan komputer untuk tempoh yang lama di pejabat. Difahamkan ada remaja yang terpaksa mendapatkan terapi di hospital kerana masalah kesakitan saraf median pada ibu jari dan jari telunjuk. Puncanya kerana penggunaan peranti pintar terlalu lama.

Ibu bapa tidak boleh memandang ringan isu ini kerana ke­tagihan peranti pintar sudah dirasai ketika usia kanak-kanak se­awal tiga tahun. Bayangkan kesannya dalam jangka masa panjang sekiranya penggunaan dan kaedahnya tidak dipantau.

Walaupun penggunaan peranti pintar dalam era digital tidak dapat dielakkan tetapi aspek-aspek berkaitan kesihatan perlu diberi perhatian. Ambillah langkah-langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih parah yang melibatkan kos perubatan.

Awang sedar, hari ini, golongan kanak-kanak dan remaja terdedah dengan terlalu banyak punca yang boleh menjejaskan kesihatan mereka. Gaya hidup dan pemakanan sudah banyak berubah. Masa mereka lebih banyak dihabiskan di hadapan komputer, televisyen serta peranti pintar. Keadaannya jauh berbeza berbanding kehidupan kanak-kanak suatu masa dahulu.

AWANG - Teringat aktiviti ketika remaja.