Ya, begitu rasional dan berpijak di bumi nyata kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berhubung calon yang bakal mengisi jawatan nombor satu kerajaan itu.

Belum membuktikan apa-apa lagi menang satu dua kerusi pilihan raya daripada 52 kerusi yang bakal ditandingi, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad ada hati pula mencabar Pas supaya menamakan calon Perdana Menteri lebih awal.

Nampaknya, Dr. Mahathir cuba lari daripada topik sebenar setelah menyedari ramai kalangan pemimpin dalam Pakatan Harapan sendiri menolaknya sebagai calon Perdana Menteri sementara.

Itu belum lagi yang tidak mempercayainya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, andai kata Pakatan Harapan berkuasa kelak.

Sepatutnya DAP - kepala Pakatan Harapan - yang cuba me­ngaut sokongan orang Melayu berasa ‘cuak’ apabila menamakan Dr. Mahathir sebagai calon ‘PM ke-7’.

Ini kerana Pas sudah tentu mempunyai banyak ‘peluru’ untuk mendedahkan tembelang bekas Perdana Menteri itu dalam isu-isu sensitif berkaitan Islam termasuklah berkisar dalang tragedi Memali pada 1985.

AWANG – Sentiasa merendah diri.