Baguslah kerana akhirnya membuat perakuan yang rasional.

Antara janji yang dijaja pakatan itu adalah mahu hapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Kalau itu yang tidak dapat dipenuhi, maka pembangkang mesti memperjelaskan kepada rakyat mengapa cukai itu dilaksanakan kerajaan.

Tidak perlulah ke sana sini mentohmah dan memperlecehkan pelaksanaannya. GST terbukti membantu mengurangkan ekonomi gelap dan menjadikannya lebih sukar bagi mereka yang hendak mengelak diri daripada membayar cukai.

Bahkan, sebuah kerajaan hanya akan menjadi kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat jika ia mempunyai sumber ekonomi yang stabil. Sebab itu kerajaan mengambil langkah tepat menerusi GST.

Tahun lalu sahaja GST yang berjaya dipungut adalah RM44 bi­lion berbanding RM41 bilion pada 2016.

Malah, Singapura kelmarin mengumumkan kenaikan terbaharu GST kepada sembilan peratus berbanding tujuh peratus sebelum ini. Na­mun Malaysia masih kekal pada enam peratus - kadar GST antara yang paling rendah di dunia.

Dan akhirnya Awang ingin bertanya balik kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad adakah pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya melantiknya sebagai Perdana Menteri turut termasuk dalam janji-janji yang sukar dipenuhi jika pakatan menang pilihan raya umum?

AWANG – Hanya janji yang realistik.