Ketegasan Kit Siang bahawa DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran PH itu jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baharu diketepikan dipercayai suatu ingatan keras terhadap pucuk pimpinan gabungan itu - supaya tidak membuat keputusan yang membelakangi parti-parti sekutu.

Spekulasi liar kononnya Per­dana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri cuba menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan seperti mana disepakati PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 bukanlah sesuatu yang baharu.

Kemasukan beberapa bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu diterajui Dr. Mahathir khabarnya mendatangkan rasa cuak yang bukan sedikit kepada PKR dan DAP yang masing-masing memiliki 50 dan 42 kerusi berbanding 16 kerusi Bersatu.

Hal ini juga dikatakan punca mengapa Nurul Izzah Anwar meletak jawatan Naib Presiden PKR ekoran tidak senang dengan gejala lompat parti yang bakal menjadi kingmaker untuk menentukan siapakah yang memegang jawatan Perdana Menteri.

Apabila Kit Siang mengingatkan DAP tidak akan menjadikan diri mereka sebagai MCA, ia sekali gus menggambar betapa komited parti itu untuk memperjuang ‘prinsip kesamarataan’ dalam membina Malaysia Baharu. Tidak seperti MCA yang masih tahu batas sedia ada.

Selama ini pun DAP menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan MCA yang mendukung hak-hak bumiputera seperti termaktub dalam perlembagaan serta berjaya mempengaruhi rakyat untuk menolak BN atas janji-janji mereka.

Adakah mungkin pemimpin-pemimpin DAP sudah mula ‘tersentak’ dengan kemasukan bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu yang barangkali akan menggugat pula ‘Deklarasi Setapak’ mereka sebagai tonggak perjuangan parti itu yang mahu merealisasikan impian kesamarataan dan menolak diskriminasi kaum?

AWANG - Pertahan Kontrak Sosial.