Hadirlah sebagai individu atau mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, institusi awam atau swasta.

Digalakkan berbaju putih sebagai lambang kesucian, kebersamaan dan keikhlasan. Di sinilah kita bersatu menunjukkan bantahan terhadap Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Kita harus senada menyatakan bantahan kerana Baitulmuqaddis bukan setakat isu Palestin tetapi melibatkan masjid ketiga suci bagi umat Islam. Diharapkan perhimpunan ini termasuk forum khas yang menampilkan wakil-wakil Palestin, parti-parti politik dan NGO dapat berjalan dengan lancar.

Bagi yang berkemampuan, ambillah kesempaan menghulurkan sumbangan untuk mengisi Tabung Palestin.

Awang juga berharap, masyarakat bukan Islam akan turut sama menyertai himpunan ini bagi menunjukkan kesatuan dan ketegasan rakyat Malaysia. Isu ini sebenarnya merentasi batas agama, kaum dan ideologi politik. Usah dipersoalkan keberkesanannya kerana yang penting pendirian kita. Mungkin juga himpunan seperti ini boleh diadakan di peringkat negeri.

AWANG - Ikut serta bersama team Solidariti.