Sememangnya dalam apa juga organisasi termasuklah per­khidmatan awam, kedua-dua semangat tersebut amat penting bagi memastikan sesebuah organisasi itu tidak berhadapan dengan apa juga ancaman yang boleh menggugat perjalanannya.

Begitu juga apabila Perdana Menteri menyentuh soal perlunya mereka menghapuskan budaya melaga-lagakan antara satu sama lain. Budaya itu amat berbahaya jika berleluasa kerana kesudahannya ‘yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang’.

Oleh itu Awang berharap penjawat-penjawat awam akan memandang serius nasihat Perdana Menteri. Ini memandangkan mereka memainkan peranan amat penting dalam melancarkan urusan pentadbiran negara. Janganlah disebabkan terpengaruh dengan fahaman politik, maka mereka sanggup menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kerajaan. Mungkin jumlah mereka yang bersikap demikian tidak ramai tetapi ia tetap satu ancaman jika dibiarkan.

Kepada orang ramai pula, hargailah sumbangan penjawat-penjawat awam. Janganlah kerana seorang dua ‘buat perangai’ semuanya mahu disalahkan. Awang yakin majoriti golongan itu bertugas de­ngan penuh dedikasi, tekun dan amanah.

AWANG – Hormat tugas penjawat awam