Kenyataan ini mengingatkan Awang berhubung peringatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini bahawa kumpulan Daesh kini sedang giat melakukan usaha menyasarkan Rakhine, sebagai lokasi untuk berjihad.

Usaha kumpulan pengganas itu akan menjadi mudah kerana mereka menggunakan alasan penduduk Islam sedang ditindas, dianiaya dan dibunuh. Oleh itu penting untuk umat Islam lain bangun membela dengan memperalatkan istilah jihad.

Namun begitu Awang tidak yakin Myanmar akan mendengar seruan Malaysia. Sebaliknya mereka akan terus melakukan penindasan terhadap umat Islam Rohingya.

Oleh itu seperti mana Awang nyatakan sebelum ini, sesuatu yang drastik perlu dilakukan bukan sahaja oleh Malaysia tetapi juga negara-negara ASEAN lain untuk memberi pengajaran kepada Myanmar. Ia termasuklah mengkaji semula hubungan diplomatik dengan negara itu kerana tindakan mereka menindas umat Islam Rohingya. Persoalannya mampukah langkah itu dilaksanakan? Atau kita akan terus kekal sekadar memberi peringatan dan amaran.

AWANG – Geram