Lebih daripada itu, seluruh umat Islam wajar menganalisis dan menghayati segala tindakan serta pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam mentransformasi kehidupan umat Islam hari ini ke arah kejayaan dan kegemilangan.

Menangani cabaran mendatang, umat Islam perlu sentiasa memantapkan ukhuwah serta mengukuhkan silaturahim. Hanya dengan kesatuan dan perpaduan yang jitu, umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan dihormati.

Bersesuaian dengan komposisi masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, kejayaan mengekalkan toleransi bukan sahaja mampu melahirkan hikmah yang besar kepada rakyat dan negara, malah memuliakan Islam sebagai agama perpaduan dan keamanan.

Sekiranya semua ini dapat diterjemahkan dengan sempurna, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi malah kemakmuran sosial seperti yang dikecapi hari ini dapat mencapai tahap yang lebih baik.

Malah, perpaduan merupakan nadi pembangunan seperti langkah awal Rasulullah SAW menubuhkan kerajaan Madinah dengan menyatukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Dan inilah resipi keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat selama ini di Malaysia.

Maka kita harus sentiasa memupuk perpaduan agar kejayaan yang dicapai pada hari ini tidak tercicir.

Perlu berhati-hati kerana akan ada anasir tertentu cuba memporakperandakan kita. Kalau tidak berwaspada, apa yang dicapai akan terhumban begitu sahaja.

AWANG – Contohi daya juang Rasul.