Berbeza di sebilangan negara yang pilihan rayanya dihantui rasa tidak puas hati dan kemelut berpanjangan, rakyat negara ini berjaya melalui fasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tenteram.

Sebab itu, Awang melahirkan keyakinan dan harapan agar Malaysia terus mengecap kemakmuran di sebalik cakap-cakap berupa tohmahan sebelum ini mengatakan negara menuju kebankrapan.

Pertemuan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dengan Perdana Menteri semalam turut menarik perhatian Awang yang menandakan keyakinan tinggi kuasa besar itu terhadap keupayaan negara ini mengharungi cabaran semasa.

Bahkan, China yang pernah menjadi ‘bahan kempen’ pihak tertentu semasa PRU-14 turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir atas pelantikannya, menerusi rakan sejawatan, Li Keqiang.

Dalam perutusan itu, Keqiang menyifatkan Dr. Mahathir telah banyak menyumbang terhadap pembangunan Malaysia dan ASEAN, hubungan China-Malaysia serta kerjasama di Asia Timur.

AWANG – Tumpang kagum sama.