Bagi Awang, rakyat termasuk orang Melayu sudah memberikan isyarat yang jelas. Mereka menolak UMNO. Inilah hakikatnya. Mereka menolak bukan kerana benci kepada parti tersebut tetapi mengharapkan satu perubahan drastik sama ada dari segi sikap mahupun tindakan.

Oleh itu, jika masih ada dalam kalangan pemimpin atau ahli UMNO merasakan tidak perlu ada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, Awang fikir ia adalah satu tindakan yang salah.

Ahli-ahli UMNO harus diberikan kuasa sepenuhnya untuk menentukan siapa pemimpin yang mereka mahukan. Awang percaya semua pemimpin UMNO bersedia menghadapi pertandingan dan bukannya mengharapkan kemenangan percuma yang akhirnya boleh mewujud tafsiran dalam kalangan rakyat bahawa UMNO tidak berubah.

Justeru biarlah semua jawatan tidak kira di peringkat mana pun dipertandingkan. UMNO memerlukan satu perubahan sikap dan pendekatan untuk bangkit semula. Awang sentiasa yakin kepada kemampuan UMNO dalam soal ini.

Awang – Fahami mesej rakyat.