Ya, bukan ada isu-isu yang menggemparkan pun setakat ini berkisar Islam dan institusi raja. Namun, kita tidak pula menolak bahawa hal-hal berkaitan kedua-dua inilah antara perkara yang tular di media sosial pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Cuma, perhimpunan esok, kata penganjurnya, sebagai simbolik penentangan terhadap kumpulan-kumpulan yang cuba menghina dua perkara paling dekat dengan hati orang Melayu ini.

Realitinya, kemunculan penglibatan pendapat-pendapat yang bebas dalam dunia siber mengakibatkan beberapa ahli kerabat Diraja pernah menjadi subjek-subjek cemuhan, tidak dihormati, malahan hasutan. Bahkan, lagu Negaraku turut dikhianati pihak tertentu dalam Internet.

Ia seolah-olahnya tidak ada penguatkuasaan mencukupi di bawah undang-undang dalam bidang ini.

Gaya hidup dan nilai-nilai rakyat terutama dalam kalangan orang muda berubah dari semasa ke semasa. Dan dikhuatiri kerabat Diraja suatu hari nanti akan tertakluk kepada ‘keadaan bahaya’ dari beberapa segmen masyarakat Malaysia.

Di negara ini, terutama di Perak beberapa tahun lalu, kerabat Diraja turut mengalami beberapa insiden yang nyata tidak menghormati institusi itu oleh individu-individu yang bermotifkan politik. Maka, beberapa langkah pencegahan dan pembetulan sewajarnya diambil sebelum keadaan sukar dibendung.

AWANG - Daulat Tuanku.