Seperti tahun-tahun lepas, Awang sudah dapat membayangkan bagaimana sesaknya lebuh raya dengan kenderaan persendirian, bas ekspres mahupun bas sewa khas. Kesesakan ini tidak dapat dielakkan kerana memang lazimnya setiap kali musim pe­rayaan, bilangan kenderaan di atas jalan raya dan lebuh raya me­ningkat berkali-kali ganda banyaknya.

Dalam keadaan ini, apa yang wajar dilakukan oleh pengguna jalan raya ialah mengamalkan sikap yang betul dan selamat ketika memandu. Pandulah secara berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya, jika mereka tidak mahu menjadi sebahagian statistik kemalangan di musim perayaan.

Awang tahu masing-masing teruja untuk pulang segera ke kampung halaman, tetapi janganlah kerananya membuatkan kita cuai dan mengabaikan keselamatan. Memandu tergesa-gesa, dalam keadaan letih dan mengantuk patut dielakkan sama sekali.

Bak kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, segala usaha pihak berkuasa bagi mengurangkan kadar kemalangan termasuk Ops Selamat 11 tahun ini, akan sia-sia jika masyarakat masih mengambil mudah soal keselamatan jalan raya.

AWANG - Pandu cermat jiwa selamat!