Telitilah terlebih dahulu pandangan pelbagai pihak berhubung perkara tersebut. Awang tak kata ia tidak boleh dilaksanakan tetapi biarlah dalam keadaan semua pihak sudah benar-benar bersedia.

Awang tahu oleh kerana kerajaan sudah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang turut digunakan oleh lebih 160 buah negara, maka sudah pasti kerajaan memerlukan kutipan cukai bagi menambah pendapatan negara tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan kelam kabut.

Ini bukan soal untuk menunaikan janji dalam manifesto semata-mata sebaliknya melibatkan kepentingan rakyat.

Dan paling penting jangan sampai pelaksanaan sistem cukai itu akan memberi keuntungan lebih besar kepada kelompok-kelompok yang sebelum ini begitu liat membayar cukai manakala rakyat pula menanggung bebannya.

Barangkali boleh direnung-renungkan pengamatan Timbalan Presiden, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Saizol Ismail kelmarin. Katanya, pelaksanaan semula SST secara tidak langsung akan mengembalikan semula trend lama pelarian cukai dan meningkatkan aktiviti dalam pasaran gelap.

Apa pun, kerajaan perlu mencari kaedah terbaik untuk menangani kelemahan SST. Dan pada masa sama berupaya mengekalkan kadar pematuhan setelah cukai itu dikuatkuasakan.

AWANG - Pembayar cukai setia.