Dari laut ke sungai, kemudian ke air terjun yang mengorbankan bukan sedikit insan-insan yang menemui pencipta-Nya.

Di pantai Tok Bali, Pasir Puteh lima hari lalu, lima sekeluarga lemas akibat air pasang bersekali pasir jerlus. Di Sungai Buloh dua hari lepas, seorang maut dan empat lagi hilang dihanyutkan kepala air.

Semalam pula, kematian dua sahabat masing-masing ber­usia 22 tahun ditangisi rakan-rakannya setelah lemas di pusat rekreasi air terjun Berkelah, Kuantan.

Itu antara sebilangan kes lemas dipetik Awang yang belum lagi melibatkan kes-kes serupa di kolam renang hotel.

Bagi Awang, tragedi boleh dielakkan jika semua pihak peka dengan keadaan sekeliling.

Kawasan beting pasir mungkin cetek tetapi berbahaya apabila air laut pasang dengan cepat.

Demikian juga tanda-tanda awal kejadian kepala air yang harus diketahui pengunjung. Antaranya, langit gelap di bahagian hulu sungai (puncak bukit) disertai bunyi guruh kuat selain air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba.

Semoga kita semua lebih peka dalam menjaga keselamatan insan-insan tersayang semasa beriadah di mana-mana kawasan yang berkait rapat dengan air.

AWANG – Sentiasa nasihat anak.