Kalau disorot ungkapan-ungkapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy semasa peringkat awal rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya tempoh hari, ia tidak banyak membantu. Memburukkan lagi keadaan ada.

Antaranya, kuil yang terlibat dalam kes rusuhan itu tidak akan dirobohkan ‘sehingga satu penyelesaian dicapai’. Begitu juga tuduhannya bahawa polis lewat tiba untuk mengawal keamanan.

Padahal seeloknya Moorthy serahkan sahaja kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu yang Awang sebagai orang biasa pun tahu ia amat sensitif.

Tambah pelik lagi waktu itu kontroversi video lama Moorthy yang tular di media sosial dengan kandungan memburukkan Malaysia yang kononnya menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik baru saja reda.

Itupun dia tak mahu belajar. ‘Belangnya’ tidak berubah. Sepatutnya pun Moorthy sudah insaf dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memberinya peluang kedua setelah mempertahankannya dengan meminta rakyat bersabar dari kontroversi video awal.

Menteri seperti Moorthy adalah liabiliti, seolah-olah mahu menjadi ‘hero’ kepada kaum tertentu. Sedangkan beliau bertanggungjawab kepada semua kaum dengan sentiasa mahu bertindak ke arah kebaikan.

Awang harap Dr. Mahathir memikirkan secara serius kedudukan Moorthy dalam Kabinetnya.

Juga, Awang amat berharap semua pihak sentiasa mempertahankan perpaduan yang selama ini merupakan aset paling berharga Malaysia.

AWANG - Tunggu dan lihat.