Semua wakil rakyat itu bermula dengan Bagan Serai, Bukit Gantang, Masjid Tanah, Jeli dan Kimanis mengisytiharkan diri keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Memang benar tindakan itu ‘tidak membantu’ kerajaan Pakatan Harapan tetapi boleh melumpuhkan UMNO. Jika mereka yang bertaraf pemimpin dikatakan mempunyai daya juang yang tinggi kecundang begitu mudah, bagaimana pula anggota di peringkat akar umbi? Kebanyakan anggota biasa di bawah yang menjadi penyokong setia kepada pemimpin-pemimpin berkenaan berada dalam keadaan keliru dan gelisah dengan situasi ini.

UMNO perlu melakukan sesuatu supaya fenomena ini tidak menjadi gelombang yang akan meruntuhkan perjuangan parti. Jangan biarkan anggota parti bosan dan hilang arah tuju.

Awang percaya selepas empat bulan PRU, masih ramai anggota UMNO sukar menerima kekalahan setelah 60 tahun memegang kuasa. Bagaimanapun tempoh ini adalah masa untuk semua peringkat di dalam parti berusaha memulihkan keyakinan bukannya mengambil tindakan yang melemah dan merosakkan.

Buang sikap lepas tangan dan menuding jari selepas tewas. Ingatlah mereka yang ‘terselamat’ ketika PRU lalu juga bertanggungjawab atas ‘musibah’ yang telah berlaku.

AWANG – Tenang dalam gelora.