Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu lebih berhati-hati. Berundinglah terlebih dahulu bagi mengelakkan salah faham. PBT dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga perlu lebih tegas berhubung penggunaan bahasa ini di papan-papan iklan dan nama jalan. Keutamaan adalah kepada bahasa Melayu.

Walaupun soal bahasa nama jalan dan sebagainya mungkin dianggap remeh tetapi sekiranya pengabaian secara berterusan, lama kelamaan bahasa ini akan dilupakan. Kerajaan perlu menyatakan pendirian yang lebih tegas mengenai kedudukan bahasa seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Hormati dan fahami apa yang sudah dipersetujui bersama. Langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Melayu juga perlu dilakukan termasuk melalui sistem pendidikan nasional. Jika tidak bahasa Melayu akan terpinggir.

Awang juga ingin mengingatkan bahawa isu-isu sensitif berkaitan kontrak sosial termasuk soal agama, bahasa, budaya dan sebagainya tidak akan berlaku sekiranya semua pihak mendukung Perlembagaan Persekutuan. Malangnya ada pihak yang sengaja membuat tafsiran yang pelbagai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham.

AWANG – Pertahan tulisan jawi.