Langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan lebih-lebih lagi apabila terdapat kes dua kanak-kanak digigit anjing peliharaan mereka di Kuala Sepetang, Taiping, Perak. Diharapkan kanak-kanak itu bebas virus rabies walaupun anjing berkenaan telah mati. Mang­sa yang dikesan positif penyakit anjing gila hanya dapat dikesan atau disahkan selepas dua atau tiga bulan mereka digigit, bukan sejurus selepas terkena gigitan.

Semua pihak perlu berhati-hati dengan penyakit ini dan mereka yang mempunyai sejarah gigitan anjing liar perlu merujuk kes ber­kenaan ke hospital berdekatan. Dapatkan rawatan segera.

Ketika ini pelbagai langkah diambil oleh pihak berkuasa. Ada negeri yang menghalang kemasukan anjing dari negeri-negeri ter­tentu. Pihak berkuasa khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan gejala ini merebak ke kawasan lain.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga diharap bekerjasama untuk menangkap anjing liar yang berpotensi mengejar kanak-kanak dan menggigit mereka. Jangan biarkan anjing liar berkeliaran dan mengganggu anak-anak yang dalam perjalanan ke sekolah atau bermain di taman permainan.

Awang tidak menafikan ada pihak yang membantah kerja-kerja memusnahkan anjing liar tetapi harus diingat pencegahan itu lebih baik daripada berubat. Anjing liar bukan sahaja mampu mence­derakan tetapi boleh membunuh seperti yang berlaku sebelum ini.

AWANG – Pernah dikejar anjing liar.