Tetapi paling menarik perhatian Awang ialah apabila siasatan mendapati ada beberapa ahli politik disyaki menerima habuan tinggi mencecah jutaan ringgit dalam proses pemberian kelulusan kajian projek tersebut.

Siapa ahli politik itu dan parti mana mereka wakili, biarlah siasatan SPRM mendedahkannya. Apa yang pasti jika benar berlaku penyelewengan dan perkara tidak betul dalam pelaksanaan projek itu diharapkan ia akan disiasat habis-habisan.

Mungkin kerana berasa panas dengan siasatan SPRM, sudah ada pihak mendakwa apa yang dilakukan agensi tersebut bermotifkan politik. Awang sebenarnya pelik dengan tuduhan seumpama itu. Apakah kerana ia melibatkan negeri yang diperintah oleh pembangkang maka semuanya bermotif politik?

Awang percaya jika kes tersebut melibatkan pengurusan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah pasti siang dan malam parti-parti pembangkang akan mendesak supaya siasatan segera diselesaikan dan mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah.

Oleh itu biarlah SPRM menjalankan siasatannya. Kalau betul tidak ada apa-apa penyelewengan, kenapa perlu takut? Tetapi Awang sentiasa percaya pasti ada sesuatu sehingga mungkin SPRM bertindak. Sama-samalah kita tunggu kesudahannya.

Awang – Tunggu hasil siasatan.