Inilah pentas untuk kerajaan mendengar atau mendapatkan input suara akar umbi pelbagai bangsa. Malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Dialog Perdana TN50 telah me­nyampaikan amanatnya. Beliau juga mendengar sendiri suara anak-anak muda mengenai aspirasi mereka tentang masa depan negara.

Adalah amat penting, mereka yang bakal mewarisi negara ini mengemukakan hasrat dan harapan secara langsung bagi membantu kerajaan memeta hala tuju negara dalam tempoh tiga dekad akan datang selepas Wawasan 2020.

Pemimpin perlu bersedia mendengar suara hati akar umbi dan bukan sekadar mengambil kira pandangan pihak kerajaan sahaja.

Awang berharap pendekatan mendengar pandangan golongan muda ini dapat menghasilkan pelan induk hala tuju negara yang dapat memenuhi misi dan visi generasi akan datang. Apa yang pen­ting, TN50 kelak dapat mencakupi pelbagai aspek kehidupan bagi mewujudkan negara bangsa berwibawa dan terunggul.

Semoga hasrat pemimpin hari ini untuk melihat Malaysia berada dalam senarai 20 negara terbaik di dunia dari segi indikator kesejahteraan rakyat secara menyeluruh akan tercapai.

AWANG – Dengar suara pembaca