Mengenali Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang mendedahkan perkara itu, Awang yakin beliau tidak berhelah bila menyatakan Pas merasakan ada yang tidak kena dengan cara Dr. Mahathir bercakap mengenai sekutunya dalam PH.

Kerana itu Pas berikrar untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri semasa pertemuan dengan beliau yang dihadiri presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu.

Rentetan dari itulah Takiyuddin memperbetulkan dakwaan persetujuan bertulis ‘Pas tidak sokong UMNO’ itu sebenarnya adalah draf ikrar menyokong Dr. Mahathir jika terjadi undi tidak percaya parti-parti komponen PH terhadap negarawan itu.

Bagi Awang, ‘bibit-bibit’ mencetus isu undi tidak percaya itu sebenarnya dibangkitkan oleh Dr. Mahathir sendiri dua hari sebelum pertemuan dengan Abdul Hadi.

Ini apabila Perdana Menteri memberi amaran kepada parti-parti sekutunya dalam PH yang jika mereka membelot, beliau akan bertukar kepada parti lain.

Bukan rahsia umum lagi DAP dan PKR menentang kemasukan tujuh bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu selain beberapa isu lagi termasuk ‘PM ke-8’ yang kemelutnya masih menyelubungi PH.

AWANG - Semenyih makin ‘panas’.