Tidak ada maksud lain termasuk melengah-lengahkan urusan. Dalam hal ini, polis sudah memberi tempoh dua minggu kepada waris atau keluarga untuk menuntut mayat berkenaan.

Sebagai negara lokasi kejadian, adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk memastikan semua prosedur dipatuhi. Dalam sesetengah perkara, mungkin ada yang boleh diberi kelonggaran tetapi dalam kes seumpama ini, Malaysia perlu lebih berhati-hati supaya tidak timbul masalah pada masa hadapan.

Selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963, negara luar juga perlu akur dan menghormati undang-undang dan kedaulatan negara tuan rumah.

Korea Utara sudah tentu memahami prosedur ini dan akan turut sama membantu dalam perkara-perkara berkaitan supaya kes melibatkan individu berprofil tinggi ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Awang percaya dunia sedang memerhati dengan penuh minat perkembangan kes ini. Diharapkan, Malaysia akan turut mendapat kerjasama penuh polis antarabangsa dalam memburu tujuh suspek yang dapat membantu penyiasatan kes berkenaan.

AWANG - Hormat undang-undang.